kelab rakan masjid: SAMBUTAN HARI RAYA 2008

SAMBUTAN HARI RAYA 2008

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2008

Pada hari Rabu yang lalu, bersamaan 15 Oktober 2008 telah diadakan satu majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 anjuran Kelab Rakan Masjid. Bertempat di Dewan Bendahara, seramai kira-kira 60 org ahli Kelab Rakan Masjid diraikan dalam majlis tersebut. Majlis bermula pada pukul 9.00 malam dan berakhir pada pukul 11.30 malam. Tujuan diadakan majlis tersebut sebagai tanda penghargaan kepada ahli KRM yang banyak menyokong usaha kelab ini dan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturrahim antara ahli kelab.
Majlis ini telah lama dirancang dan akhirnya mendapat persetujuan ahli kelab untuk diadakan pada hari tersebut. Segala persiapan menjelang majlis tersebut dibuat secara teliti agar perjalanan majlis lancar. Setelah perbincangan diadakan, menu utama untuk majlis tersebut ialah satay bersama kuah kacang, ayam bakar serta banyak lagi. Ahli Jawatankuasa pelaksanaan majlis tersebut bertungkus lumus untuk memastikan majlis berlangsung dengan meriahnya. Pada sebelah petang ajk terlibat mula membuat persiapan untuk majlis berkenaan. Aturcara majlis bermula dengan ketibaan ahli Kelab Rakan Masjid dan ketibaan dif-dif jemputan. Antara dif-dif jemputan yang hadir ialah Ust A Mazlam bin Ibrahim sebagai Pensyarah Penasihat, Saudara Zaiful Ikhwan bin Abd Kadir sebagai Pengerusi JPP serta Saudara Mohd Rauhan bin Ruslan sebagai Pengerusi KRM. Selepas itu, pengerusi majlis memulakan tugasnya untuk memastikan perjalanan majlis lebih teratur.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pensyarah Penasihat KRM,iaitu Ust A Mazlam bin Ibrahim. Beliau menceritakan pengalaman beliau berjuang untuk memastikan ajaran agama islam tetap mekar dalam di setiap pelajar. Kemudian, disusuli ucapan oleh Saudara Zaiful Ikhwan yang memberi sokongan sepenuhnya segala aktiviti yang dirancang oleh KRM dan berharap kelab ini terus memberi sumbangan kepada institut. Akhir sekali ucapan oleh Pengerusi KRM, Saudara Mohd Rauhan. Beliau memberi harapan agar ahli kelab tidak leka dalam memperjuangkan Islam dan cuba sedaya upaya untuk meneruskan aktiviti yang melibatkan semua ahli supaya kerjasama semua ahli dapat dikukuhkan.
Selepas ucapan dari pengerusi kelab, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Saudara Mohammad Ashraf bin Abdul Rashid. Setelah itu, semua ahli kelab mula menjamu selera. Setelah selesai menjamu selera, dif-dif jemputan mula berangkat pulang. Selepas itu, semua ahli kelab dikumpulkan kerana acara yang dirancangkan untuk ahli kelab akan berlangsung. Tanpa pengetahuan ahli kelab, sebenarnya ahli jawatankuasa majlis pada malam itu telah merancang satu permainan ilmiah kepada semua ahli. Permainan itu dipanggil permainan kotak beracun di mana di dalam kotak yang diedarkan mempunyai soalan yang akan menguji pengetahuan ahli kelab. Pelbagai jenis soalan yang diajukan, dan ahli kelab dapat menjawabnya dengan begitu baik. Selain itu, terdapat juga acara cabutan bertuah diadakan dan hadiah tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh saudara Muhummad Fikri bin Fuazi sebagai salah seorang ahli jawatankuasa majlis tersebut. Kira-kira pada pukul 11.30, majlis bersurai dan semua ahli kelab mula beransur pulang. Seperti yang dirancang, majlis Sambutan Hari Raya anjuran Kelab Rakan Masjid berlangsung meriah dan lancar.

Share this post:

Digg it StumbleUpon del.icio.us Google Yahoo! reddit

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...