kelab rakan masjid: renungan
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label renungan. Papar semua catatan









Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.


1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap

MASIH segar dalam ingatan kaum Muslimin tatkala Rasulullah bersabda, Aku bermimpi dalam tidur sedang memegang segelas susu. Ku minum hampir habis susu itu sampai rasa kenyang menyelusup di kuku – kuku ku. Lalu sisanya ku berikan kepada Umar bin Khatab.

Waktu itu Seorang sahabat bertanya, Apa takwilnya, ya Rasulullah? Nabi menjawab, Ilmu.

Nyatanya, semasa memegang jawatan khalifah, Umar bin Khatab terkenal dengan kekerasan dan ke galakkannya. Akan tetapi, ilmunya menerangi semua sikap hidupnya, sehingga dalam memutuskan sesuatu perkara, yang dipedomaninya adalah kecerdasan pemikirannya, bukan sentuhan perasaannya. Selaku penguasa ia tidak terpengaruh oleh kemarahannya, kesedihannya atau kepentingan peribadi dan keluarganya.

Ia pernah berkata, :Membatalkan hukuman dengan diam-diam, bagiku lebih baik daripada melaksanakan hukuman dengan diam - diam. Sebab, membatalkan hukuman biasanya dilandasi oleh kebijaksanaan dan keampunan, sedangkan menjatuhkan hukuman membawa kepada rasa benci dan balas dendam. Apalagi jika dilakukan secara sembunyi-sembunyi.

Seorang ayah pada suatu saat datang kepada umar dan mengadu, Anak perempuan ku, wahai Amirul Mukminin, pernah terjerumus ke dalam dosa besar. Ia patah hati, lantas mengambil pisau dan mengerat lehernya sendiri. Untung aku mencegahnya. Anak itu ku selamatkan, lukanya ku rawat dengan cermat hingga ia segar bugar kembali.

Umar merungut, Hem, mujur anak engkau itu. Bunuh diri adalah tanda kekufuran. Ia harus bertaubat. Ayah itu menjawab, Memang itulah yang dikerjakannya sesudah itu. Ia menyesal dan bertaubat dengan sungguh-sungguh. Sekarang ia dipinang seorang pemuda untuk menjadi isterinya. Apakah dosa itu harus ku ceritakan kepada calon suaminya, wahai Amirul Mukminin? Umar bertitah lantang,Apakah engkau bermaksud membongkar aib yang sengaja telah ditutupi Allah takdir-Nya? Demi Allah, seandainya kau melakukan hal itu, akan kuhukum engkau sedemikian rupa di depan masyarakat sehingga menjadi contoh yang pahit bagi yang lain. Tidak, jangan kau ungkap kembali cacat yang sudah terhapus itu. Nikahkanlah puteri engkau sebagaimana layaknya seorang perempuan terhormat dan Mulimat yang taat.

Mungkin itukah yang dinamakan kearifan dan tumbuh dari rohani yang bersih dan adil. Umar tidak segan-segan menceritakan kesalahannya kepada hakim dan meminta petanda mencabuknya sesuai dengan besar kecil kesalahan yang dilakukannya. Di punggungnya membekas jalur-jalur cemeti petanda itu, tanpa sekelumitpun Umar menampilkan kuasanya sebagai khalifah untuk diberi keringanan.

Namun, umar tidak ingin kecacatan orang lain diperhebohkan. Sebab, terhadap orang bersalah, yang diharapkan adalah memperbaiki, bukan memerosokkannya ke dalam kejahatan yang lebih besar. Kepada penjahat yang telah selesai menjalani hukumannya, seharusnya masyarakat memberi kesempatan untuk menebus dosanya di masa lalu, bukan mengasingkannya sehingga terpaksa mereka terperangkap ke dalam keburukan kembali.

Seorang lelaki seraya termengah-mengah datang menghadap Umar. Mukanya merah padam dan suaranya menggeletar manakala ia bercerita, "Wahai Amirul Mukminin. Saya melihat dengan mata kepala sendiri, seorang pemudan Fulan dan pemudi Fulanah berpelukan dengan mesra di belakang pohon kurma.

Lelaki itu berharap Umar akan memanggil kedua asyik masyuk itu dan memerintahkan petanda supaya menderanya dengan cemeti. Ternyata tidak. Umar memegang leher baju lelaki itu. Sambil memukulnya dengan gagang pedang, Umar mengherdik, ??Kenapa engkau tidak menutupi kejelekan mereka dan berusaha agar mereka bertaubat? Tidakkah kau ingat akan sabda Rasulullah s.a.w., Siapa yang menutupi aib saudarannya, Allah akan menutupi keburukannya di dunia dan akhirat.

Dalam fikiran Umar, bila kedua pemuda-pemudi itu dimalukan di tengah orang ramai, boleh jadi mereka akan nekad lantaran tidak tahu kemana hendak menyembunyikan diri. Bukankah corak maksiat yang lebih parah akan mengurung mereka dalam nista berterusan?

Pada waktu yang lain, seorang Muslim diheret ke hadapannya kerana telah mengerjakan suatu dosa yang patut menerima hukuman cambuk. Tiga orang saksi mata telah mengemukakan kenyataan yang membuktikan kesalahan lelaki Muslim itu. Tinggal seorang lagi yang merupakan penentuan, apakah hukuman dera harus dijatuhkan atau dikurungkan.

Ketika saksi keempat itu diajukan, Umar berkata, Aku menunggu seorang hamba beriman yang semoga Allah tidak akan mengungkapkan kejelekan sesama Muslim dengan kesaksiannya. Dengan lega saksi keempat itu menyatakan, Saya tidak melihat suatu kesalahan yang menyebabkan lelaki itu wajib dihukum cambuk.Umar pun ikut bernafas lega.


*
Dipetik dari buku Koleksi Kisah-kisah Iktibar, Bila Kemanusiaan Disakiti, oleh K.H. AbdurRahman Arroisi.

"Yang kasar kita haluskan, yang simpul kita leraikan."

Dicelah - celah Kepayahan
Tiga orang pemuda bersedia untuk memetik mangga di sebuah kebun. Pemilik kebun tersebut tiba bersama peralatan. Dia meminjamkan sebuah galah yang panjang kepada pemuda pertama. Di hujung galah terdapat satu lingkaran bulat yang diikat bersamanya jaring membentuk serkup. Untuk dua lagi pemuda yang sedang menantikan peralatan mereka, dipinjamkannya kayu yang tidaklah panjang mana namun turut mempunyai serkup di hujungnya. Pemilik kebun itu menyatakan dia akan memberi upah setimpal dengan hasil pungutan mangga yang diperolehi.
Pemuda pertama memulakan kerja. Dengan mudah dia menyerkup buah-buah mangga yang bergantungan di pokok-pokok. Pemuda kedua terpaksa memanjat sedikit bagi membolehkannya memetik kerana `galah pendek' yang diberikan pemilik kebun tadi menyukarkannya untuk memetik mangga semudah pemuda pertama. Pemuda ketiga turut mencuba, dia terasa susah. Pemuda ketiga memandang betapa mudahnya pemuda pertama memetik buah-buah mangga tersebut.
Pemuda ketiga itu tidak berpuas hati dan memaki pemilik kebun yang padanya sengaja mahu menyusahkannya. Dia membuang galah kontotnya dan berlalu pergi sambil merungut. Dia persoalkan betapa tidak adilnya pemilik kebun tadi kerana sudah tentulah pemuda pertama dapat mengaut upah lebih banyak tanpa perlu bersusah payah. Dia rasa dizalimi.
Setelah selesai memungut semua mangga-mangga maka pemuda pertama dan kedua tadi pun kembali bertemu pemiliknya dengan hasil pungutan. Pemuda pertama memperoleh lima bakul mangga. Pemuda kedua sekadar memperoleh tiga bakul.
Pemilik kebun memberikan pemuda pertama upahnya. Dia kemudian menghulurkan pemuda kedua upahnya. Pemuda kedua terkejut melihat upahnya sama dengan pemuda pertama sekalipun jumlah pungutan berlainan. Rupanya pemilik kebun yang sangat pengasih dan pemurah itu memberi pemuda kedua lebih sedikit upah kerana mengambil kira kesusahan tambahan yang dirasai pemuda kedua berbanding pemuda pertama.


PEMUDA KETIGA YANG KALAH
Pemuda ketiga itu adalah gambaran orang yang tewas kerana kesusahan yang menimpa dirinya. Dia melihat orang yang lebih senang daripadanya dan menjadikan apa dilihat itu sebagai lesennya untuk merungut merasa sangat susah. Walhal pemilik kebun itu merupakan seorang yang sangat pengasih dan penyayang. Masakan dia tidak akan mengambil kira kesusahan yang dilalui lalu tiada upah lebih akan diberi.
Sekiranya ramai orang yang senang hidupnya bisa tewas dengan sikap tidak bersyukur, orang yang ditimpa kesusahan pula lazim tewas kerana merungut tentang kesusahannya. Lebih dahsyat jika diletakkan Tuhan di kandang tertuduh kerana menjadikan nasibnya susah. Tidak akan mampu terlepas daripada kedua-dua kekalahan besar itu melainkan apabila ia faham tentang fungsinya diciptakan dan faham adanya kehidupan selepas mati.
Perlunya kewujudan alam selepas mati bagi menjustifikasikan keadilan. Seorang pembunuh yang menamatkan ribuan nyawa tidaklah adil sekiranya nyawanya hanya ditamatkan sekali. Keadilan dirasakan tercapai hanya apabila nyawanya ditamatkan beribu kali sesuai dengan kesalahannya. Maka ini hanya dapat dicapai pada hari pembalasan, pada kehidupan selepas mati dan bukan di alam ini.
Atas dasar keadilan dan sifat pemurah Tuhan juga, maka sesiapa yang telah bersusah-susah untuk patuh pada Tuhannya ketika di dunia, Tuhan Maha Pemurah ingin memberi balasan nikmat yang infiniti pada merek a. Nikmat infiniti yang ingin Pencipta alam ini kurniakan mustahil boleh wujud di dalam dimensi ini yang segalanya tidak kekal. Maka sekali lagi, alam selepas kematian perlu untuk itu.
Bicara tentang fungsi. Pencipta sudah menjelaskan siapa kita dalam firman-Nya yang masyhur tentang tujuan diciptakan manusia. Allah Subhana wa Taala berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku. [az-Zariyat 51:56]
Jelas manusia hanya hamba. Hamba yang melalui ujian-ujian untuk tunduk, patuh dan berserah diri kepada Penciptanya. Dewan ujiannya adalah di dunia ini ketika manusia itu hidup.`Passing mark'nya pula adalah kesabaran dan berserah diri kepada Penciptanya. Semua telah `dibocorkan' oleh Allah Subhana wa Ta'ala di dalam firmannya:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [al-Baqarah 2:155-156]
Tubuh badan, keluarga, kesihatan, nyawa, segalanya hanya pinjaman untuk melalui ujian yang akan memberikan `markah' sebagai bekalan berjumpa Pemilik alam ini. Kehilangan ahli keluarga, kesihatan, harta dan sebagainya bukanlah bererti kita kehilangan sesuatu milik kita, tetapi kita cuma kehilangan pinjaman yang diberikan!
Setiap individu mungkin memperoleh pinjaman yang berbeza-beza kuantiti atau kualitinya untuk melalui ujian di dunia. Seperti juga galah yang dipinjamkan dalam cerita tiga pemuda pemetik mangga diatas. Seseorang mungkin diuji dengan kesihatan yang baik untuk melihat sejauh mana ia bersyukur dengan kesihatan itu dan menggunakannya untuk kebaikan sejagat. Ada pula yang mungkin diuji dengan penyakit kronik. Untuk melihat sejauh mana ia akan bersyukur dan bersabar.
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286]
Mungkin ada perkara yang kelihatan sebagai kelebihan bagi mereka yang sihat tubuh badan. Sedar atau tidak, ada juga ruang ganjaran yang tidak mampu diperolehi oleh orang sihat tetapi orang yang tidak sihat mampu menggapainya.


BAGAIMANA IBADAT SI MISKIN MAMPU SETANDING SI KAYA?
Daripada Abu Hurairah radhiallahu `anh, katanya:
Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam, lalu mereka bekata: "Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan kekal abadi." Tanya Rasulullah shallallahu `alaihi wassalam: "Kenapa begitu?" Jawab mereka, "Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat bersedekah, mereka memerdekakan hamba sedangkan kami tidak (mampu) memerdekakan hamba. Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda: "Sukakah kamu aku ajarkan kepada kamu amal perbuatan yang dapat memperoleh pahala orang-orang terdahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? dan tidak ada yang lebih utama daripada kamu melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu" Mereka menjawab: "Baiklah, wahai Rasulullah." Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda: "Hendaklah kamu bertasbih, bertakbir dan bertahmid selepas solat 33 kali." Berkata Abu Shalih: Orang-orang miskin dari kaum Muhajirin kembali kepada Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam dan berkata: "Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan, maka mereka melakukan hal yang serupa." Rasulullah shallallahu `alaihi wasallam bersabda: "Itulah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya" [Sahih Muslim – no:595]
Dalam menghuraikan maksud dan faedah-faedah hadis di atas, ulamak memberikan pelbagai interpretasi. Antara interpretasinya adalah bahawa sebenarnya setiap pihak di dalam hadis tersebut mempunyai kelebihan. Yang kaya dengan kelebihan amalan yang disebutkan di atas, ibadah bersifat harta dan tentu sekali disertakan dengan ujian kesyukuran. Yang miskin pula dengan kelebihan menjadi sebab terdedahnya amalan penuh berkat tersebut kerana mereka bertanya. Bukankah bagi mereka yang memulakan kebaikan, dia memperoleh pahala amalan tersebut dan pahala orang yang mencontohinya? Seperti sabda Nabi shallallahu `alaihi wasallam:
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. [Sahih Muslim – no:1017]
Dan tentu sekali kemiskinan mereka itu disertai dengan ujian kesabaran terhadap kesukaran hidup. Kedua kelompok mempunyai kelebihan dan ujian mereka tersendiri.
Begitulah Allah Subhanahu wa Ta'ala sentiasa adil. Setiap manusia tidak kira apapun keadaan mereka sentiasa ada ruang untuk mencapai redha-Nya dan memperoleh ganjaran terbaik buat akhirat.
Kita bukanlah dizalimi sekiranya dihinggapi penyakit kronik, miskin, kurang upaya dan sebagainya. Tetapi sebenarnya diuji. Dan dalam ujian berat itu ada ruang yang boleh kita gunakan untuk menggapai redha Tuhan. Yang mungkin ruang tersebut tak mampu ditemui orang yang tidak ditimpa masalah seperti kita.



Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang paling sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya
seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...