MASIH segar dalam ingatan kaum Muslimin tatkala Rasulullah bersabda, Aku bermimpi dalam tidur sedang memegang segelas susu. Ku minum hampir habis susu itu sampai rasa kenyang menyelusup di kuku – kuku ku. Lalu sisanya ku berikan kepada Umar bin Khatab.
Waktu itu Seorang sahabat bertanya, Apa takwilnya, ya Rasulullah? Nabi menjawab, Ilmu.
Nyatanya, semasa memegang jawatan khalifah, Umar bin Khatab terkenal dengan kekerasan dan ke galakkannya. Akan tetapi, ilmunya menerangi semua sikap hidupnya, sehingga dalam memutuskan sesuatu perkara, yang dipedomaninya adalah kecerdasan pemikirannya, bukan sentuhan perasaannya. Selaku penguasa ia tidak terpengaruh oleh kemarahannya, kesedihannya atau kepentingan peribadi dan keluarganya.
Ia pernah berkata, :Membatalkan hukuman dengan diam-diam, bagiku lebih baik daripada melaksanakan hukuman dengan diam - diam. Sebab, membatalkan hukuman biasanya dilandasi oleh kebijaksanaan dan keampunan, sedangkan menjatuhkan hukuman membawa kepada rasa benci dan balas dendam. Apalagi jika dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
Seorang ayah pada suatu saat datang kepada umar dan mengadu, Anak perempuan ku, wahai Amirul Mukminin, pernah terjerumus ke dalam dosa besar. Ia patah hati, lantas mengambil pisau dan mengerat lehernya sendiri. Untung aku mencegahnya. Anak itu ku selamatkan, lukanya ku rawat dengan cermat hingga ia segar bugar kembali.
Umar merungut, Hem, mujur anak engkau itu. Bunuh diri adalah tanda kekufuran. Ia harus bertaubat. Ayah itu menjawab, Memang itulah yang dikerjakannya sesudah itu. Ia menyesal dan bertaubat dengan sungguh-sungguh. Sekarang ia dipinang seorang pemuda untuk menjadi isterinya. Apakah dosa itu harus ku ceritakan kepada calon suaminya, wahai Amirul Mukminin? Umar bertitah lantang,Apakah engkau bermaksud membongkar aib yang sengaja telah ditutupi Allah takdir-Nya? Demi Allah, seandainya kau melakukan hal itu, akan kuhukum engkau sedemikian rupa di depan masyarakat sehingga menjadi contoh yang pahit bagi yang lain. Tidak, jangan kau ungkap kembali cacat yang sudah terhapus itu. Nikahkanlah puteri engkau sebagaimana layaknya seorang perempuan terhormat dan Mulimat yang taat.
Mungkin itukah yang dinamakan kearifan dan tumbuh dari rohani yang bersih dan adil. Umar tidak segan-segan menceritakan kesalahannya kepada hakim dan meminta petanda mencabuknya sesuai dengan besar kecil kesalahan yang dilakukannya. Di punggungnya membekas jalur-jalur cemeti petanda itu, tanpa sekelumitpun Umar menampilkan kuasanya sebagai khalifah untuk diberi keringanan.
Namun, umar tidak ingin kecacatan orang lain diperhebohkan. Sebab, terhadap orang bersalah, yang diharapkan adalah memperbaiki, bukan memerosokkannya ke dalam kejahatan yang lebih besar. Kepada penjahat yang telah selesai menjalani hukumannya, seharusnya masyarakat memberi kesempatan untuk menebus dosanya di masa lalu, bukan mengasingkannya sehingga terpaksa mereka terperangkap ke dalam keburukan kembali.
Seorang lelaki seraya termengah-mengah datang menghadap Umar. Mukanya merah padam dan suaranya menggeletar manakala ia bercerita, "Wahai Amirul Mukminin. Saya melihat dengan mata kepala sendiri, seorang pemudan Fulan dan pemudi Fulanah berpelukan dengan mesra di belakang pohon kurma.
Lelaki itu berharap Umar akan memanggil kedua asyik masyuk itu dan memerintahkan petanda supaya menderanya dengan cemeti. Ternyata tidak. Umar memegang leher baju lelaki itu. Sambil memukulnya dengan gagang pedang, Umar mengherdik, ??Kenapa engkau tidak menutupi kejelekan mereka dan berusaha agar mereka bertaubat? Tidakkah kau ingat akan sabda Rasulullah s.a.w., Siapa yang menutupi aib saudarannya, Allah akan menutupi keburukannya di dunia dan akhirat.
Dalam fikiran Umar, bila kedua pemuda-pemudi itu dimalukan di tengah orang ramai, boleh jadi mereka akan nekad lantaran tidak tahu kemana hendak menyembunyikan diri. Bukankah corak maksiat yang lebih parah akan mengurung mereka dalam nista berterusan?
Pada waktu yang lain, seorang Muslim diheret ke hadapannya kerana telah mengerjakan suatu dosa yang patut menerima hukuman cambuk. Tiga orang saksi mata telah mengemukakan kenyataan yang membuktikan kesalahan lelaki Muslim itu. Tinggal seorang lagi yang merupakan penentuan, apakah hukuman dera harus dijatuhkan atau dikurungkan.
Ketika saksi keempat itu diajukan, Umar berkata, Aku menunggu seorang hamba beriman yang semoga Allah tidak akan mengungkapkan kejelekan sesama Muslim dengan kesaksiannya. Dengan lega saksi keempat itu menyatakan, Saya tidak melihat suatu kesalahan yang menyebabkan lelaki itu wajib dihukum cambuk.Umar pun ikut bernafas lega.
*
Dipetik dari buku Koleksi Kisah-kisah Iktibar, Bila Kemanusiaan Disakiti, oleh K.H. AbdurRahman Arroisi.
"Yang kasar kita haluskan, yang simpul kita leraikan."
hayati hadis ini...
“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”
Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya ‘jahil’, nilai itu akan
menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya dia Islam, nilai itu akan menyokong Islam.
Segalanya bergantung kepada kefahamannya.
Bahagian terakhir hadith ini, mempunyai dua sebutan:
1. memahami ilmu Fiqh. (Contoh: Imam As-Syafie).
2. memahami Islam. (Contoh: Sumayyah).
Ramai yang mungkin mengetahui hukum Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri.
Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain
termasuklah Ilmu Fiqh. Mari kita melihat kembali apa yang berlaku semasa tahun 60an, ramai
pelajar-pelajar jurusan agama di Universiti Al-Azhar (ustazah-ustazah) yang banyak mengetahui
soal hukum-hakam tetapi masih tidak memakai tudung menutup aurat. Mereka mengetahui hukum
Fiqh tetapi masih tidak memahami Islam. Berbeza pula pada tahun 80an, ramai pelajar-pelajar
lepasan UK yang pulang ke tanah air dengan keadaan bertudung menutup aurat (sebelumnya
tidak). Mereka ini memahami Islam tetapi tidak menguasai ilmu Fiqh. Mereka yang memahami
Islam akan mengamalkannya, sebaliknya yang tidak memahami akan meninggalkannya walaupun
telah datang hujah dan pengetahuan. Jadilah seperti Sumayyah…
Kita memahami hukum Fiqh melalui kuliyah-kuliyah ‘Fardhu ‘Ain’. Tetapi bagaimana kita
mahu memahami Islam itu sendiri? Didiklah jiwa kita melalui proses usrah dan tarbiyyah.
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2008
Pada hari Rabu yang lalu, bersamaan 15 Oktober 2008 telah diadakan satu majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2008 anjuran Kelab Rakan Masjid. Bertempat di Dewan Bendahara, seramai kira-kira 60 org ahli Kelab Rakan Masjid diraikan dalam majlis tersebut. Majlis bermula pada pukul 9.00 malam dan berakhir pada pukul 11.30 malam. Tujuan diadakan majlis tersebut sebagai tanda penghargaan kepada ahli KRM yang banyak menyokong usaha kelab ini dan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturrahim antara ahli kelab.
Majlis ini telah lama dirancang dan akhirnya mendapat persetujuan ahli kelab untuk diadakan pada hari tersebut. Segala persiapan menjelang majlis tersebut dibuat secara teliti agar perjalanan majlis lancar. Setelah perbincangan diadakan, menu utama untuk majlis tersebut ialah satay bersama kuah kacang, ayam bakar serta banyak lagi. Ahli Jawatankuasa pelaksanaan majlis tersebut bertungkus lumus untuk memastikan majlis berlangsung dengan meriahnya. Pada sebelah petang ajk terlibat mula membuat persiapan untuk majlis berkenaan. Aturcara majlis bermula dengan ketibaan ahli Kelab Rakan Masjid dan ketibaan dif-dif jemputan. Antara dif-dif jemputan yang hadir ialah Ust A Mazlam bin Ibrahim sebagai Pensyarah Penasihat, Saudara Zaiful Ikhwan bin Abd Kadir sebagai Pengerusi JPP serta Saudara Mohd Rauhan bin Ruslan sebagai Pengerusi KRM. Selepas itu, pengerusi majlis memulakan tugasnya untuk memastikan perjalanan majlis lebih teratur.
Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pensyarah Penasihat KRM,iaitu Ust A Mazlam bin Ibrahim. Beliau menceritakan pengalaman beliau berjuang untuk memastikan ajaran agama islam tetap mekar dalam di setiap pelajar. Kemudian, disusuli ucapan oleh Saudara Zaiful Ikhwan yang memberi sokongan sepenuhnya segala aktiviti yang dirancang oleh KRM dan berharap kelab ini terus memberi sumbangan kepada institut. Akhir sekali ucapan oleh Pengerusi KRM, Saudara Mohd Rauhan. Beliau memberi harapan agar ahli kelab tidak leka dalam memperjuangkan Islam dan cuba sedaya upaya untuk meneruskan aktiviti yang melibatkan semua ahli supaya kerjasama semua ahli dapat dikukuhkan.
Selepas ucapan dari pengerusi kelab, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Saudara Mohammad Ashraf bin Abdul Rashid. Setelah itu, semua ahli kelab mula menjamu selera. Setelah selesai menjamu selera, dif-dif jemputan mula berangkat pulang. Selepas itu, semua ahli kelab dikumpulkan kerana acara yang dirancangkan untuk ahli kelab akan berlangsung. Tanpa pengetahuan ahli kelab, sebenarnya ahli jawatankuasa majlis pada malam itu telah merancang satu permainan ilmiah kepada semua ahli. Permainan itu dipanggil permainan kotak beracun di mana di dalam kotak yang diedarkan mempunyai soalan yang akan menguji pengetahuan ahli kelab. Pelbagai jenis soalan yang diajukan, dan ahli kelab dapat menjawabnya dengan begitu baik. Selain itu, terdapat juga acara cabutan bertuah diadakan dan hadiah tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh saudara Muhummad Fikri bin Fuazi sebagai salah seorang ahli jawatankuasa majlis tersebut. Kira-kira pada pukul 11.30, majlis bersurai dan semua ahli kelab mula beransur pulang. Seperti yang dirancang, majlis Sambutan Hari Raya anjuran Kelab Rakan Masjid berlangsung meriah dan lancar.