
Pada tanggal 29 Mac 2011 hari Selasa bersamaan 24 Rabiulakhir 1432 hijrah. (Selasa)
satu program iaitu Seminar Pemantapan Solat telah dianjurkan oleh Biro Agama Dan Pendidikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGM Kampus Sultan Mizan dengan kerjasama Kelab Rakan Masjid Kampus Sultan Mizan.
Biro Agama dan Pendidikan IPGM KSM telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Seminar Pemantapan Solat bagi memantapkan ibadah solat para pelajar. Program ini adalah buat julung-julung kalinya diadakan dalam tahun ini di IPGM KSM.
Sebelum seminar, ujian diagnostik akan diadakan bertujuan menilai pengetahuan asas dalam solat. Soalan ini akan diedarkan sebelum seminar berlangsung. InsyaAllah, penganjuran seminar ini imej IPGM KSM sebagai sebuah institusi yang sentiasa aktif menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk manfaat warganya.
Antara objektif seminar ini diadakan ialah untuk mengenalpasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pelajar semasa solat. selain untuk memberi pendedahan mengenai cara solat yang betul menurut mazhab Syafii, memberi maklumat-maklumat semasa mengenai permasalahan atau isu-isu berkaitan solat, dan dapat mengetahui teknik-teknik dan cara-cara solat semasa sakit dan musafir.
Program bermula pada pukul 2.30 petang dengan bacaan doa bagi memberkati majlis oleh Allah S.W.T. Kemudian pada pukul 2.45 Petang adalah pembentangan kertas kerja 1 dengan tajuk Rukhsah Solat Dalam Musafir, Sakit & Permasalahan Khas Dalam Solat yang dibentangkan oleh Us. Hj. Mohd Yusof Bin Hj Ismai. kemudian, pada pukul 3.35 Petang para hadirin diberi peluang untuk bersoal jawab dengan penceramah. seterusnya, pada pukul 3.45 Petang adalah pembentangan kertas kerja 2 oleh Us. Mohd. Zamri bin Rajab dengan tajuk: Teknik Solat Rasulullah S.A.W Menurut Mazhab As-Syafi’e. kemudian diteruskan dengan Sesi soal jawab dan pada pukul 5.00 petang Jamuan ringan, Solat dan Bersurai
Sesungguhnya Seminar Pemantapan Solat yang akan dianjurkan ini dapat memberi faedah kepada para pelajar dalam usaha memantapkan solat. Di samping itu, pengisian sebegini penting supaya dapat memantapkan solat yang dilakukan.Ilmu pengetahuan yang diperoleh juga dapat dipelajari dengan lebih mendalam melalui seminar ini. Seminar yang diadakan adalah bercirikan pemantapan dalam melakukan solat yang mendatangkan faedah kepada para pelajar.
Selain itu, kebolehan dan keterampilan pelajar dapat diserlahkan melalui penglibatan mereka dalam mengendalikan sesuatu program. Perkara ini amat penting bagi menampilkan citra guru yang unggul di samping memiliki daya tahan fizikal yang tinggi dari segi fizikal, jasmani, rohani dan perkembangan sosial. Diharapkan juga agar program ini dapat menghimpunkan kesepaduan, keakraban dan kemesraan di kalangan para pelajar dengan pensyarah Jabatan Pendidikan Islam & Moral Institut Perguruan Sultan Mizan. Dengan kerjasama daripada semua pihak, maka Seminar Pemantapan Solat ini dapat diadakan dengan berkesan dan lancar sepertimana yang dirancang dan ditetapkan.
ribuan ucapan jazakumullahu khairan kathira ke atas Jawatankuasa Pelaksana yang banyak memainkan peranan demi memastikan kelancaran program ini. segala kelemahan insya ALLAH akan kami cuba baiki pada masa yang akan datang. moga ALLAH merahmati segala usaha yang kita lakukan sepanjang program ini berlansung
*************************************************************************
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata:
01."Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-Nya."
Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.
"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
02."Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya:
"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.
Ibrahim menjawab:
03."Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:
"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan:
04."Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh"
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:
"Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab:
05."Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.
sumber : iluvislam.com
p/s : baca. fikir. refleksi.
(Tekan untuk paparan penuh)
Ilmu yang di dasari asas kefahaman yang jelas serta penghayatan yang telus akan membuahkan amal yang bermanfaat. Maka dengan ini, Biro Agama dan Pendidikan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPG KSM) telah mengambil inisiatif bagi mengadakan Bulan Kefahaman dan Penghayatan Islam untuk pengisian rohani pelajar kampus di samping mewujudkan kerjasama yang utuh antara mereka khususnya dan mempraktik amalan- amalan insan guru yang mulia umumnya sebagai bakal pendidik kelak.
Bulan kerohanian tahun 2010 yang bakal diadakan ini merupakan kesinambungan kepada Minggu Kebudayaan dan Penghayatan Islam pada tahun 2007 yang julung kali diadakan sehinggalah tahun-tahun berikutnya yang turut berlalu dengan jayanya. Amatlah diharap agar bulan tersebut bakal memberi kesan yang lebih mendalam terhadap pelajar dalam aspek pemupukan nilai murni yang lebih praktikal dalam kehidupan seharian sebagai guru pelatih. Penganjuran Bulan Kefahaman dan Penghayatan Islam ini juga bakal mencerminkan imej IPG KSM sebagai sebuah institusi guru yang sentiasa aktif menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk manfaat warganya.
OBJEKTIF
1) Memupuk perpaduan, ukhwah dan jalinan kemesraan di antara pentadbir, pensyarah, pelajar dan semua warga IPG Kampus Sultan Mizan.
2) Melatih pelajar supaya memiliki kemahiran berpersatuan dan kemahiran mengendalikan sesuatu program.
3) Memperdalam dan memperluaskan ilmu pengetahuan di samping dapat mempelajari tentang agama Islam dengan lebih mendalam.
4) Mencungkil bakat-bakat para pelajar yang jarang atau tidak pernah ditonjolkan.
Mewujudkan suasana keislaman dalam kalangan guru pelatih melalui aktiviti yang berlandaskan syariat islam bagi melahirkan insan guru yang soleh dan solehah.
ANJURAN
Biro Agama dan Pendidikan, Jawatankuasa Perwakilan Dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
TENTATIF PROGRAM
(Tekan untuk paparan penuh)
HARAPAN
1. Diharapkan agar program ini dapat berjalan dengan jayanya dari awal hingga ke akhir penutup.
2. Untuk menjayakan lagi program ini, komitmen daripada semua pihak amat diperlukan dengan memberikan respon yang positif terhadap setiap aktiviti yang dijalankan.
3. Penghayatan tentang kebudayaan dan kesenian Islam perlu dirasai oleh semua warga IPG KSM agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
4. Pihak institut dapat menambah aktiviti-aktiviti keagamaan untuk para pelajar.
5. Semoga program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
PENUTUP
Sesungguhnya Bulan Kefahaman dan Penghayatan Islam yang akan dianjurkan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada para pelajar agar mengekalkan seni Islam yang indah di samping menerapkan nilai-nilai Islam itu sendiri dalam diri mereka melalui pengisian aktiviti-aktiviti yang akan diadakan.
Selain itu, kebolehan dan keterampilan pelajar akan dapat dicungkil dan diserlah melalui penglibatan mereka dalam mengendalikan sesuatu program. Perkara ini amat penting bagi menampilkan citra guru yang unggul di sebalik empat aspek utama perkembangan individu iaitu jasmani, emosi, rohani, dan intelektual. Peluang dan pendedahan kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan serta pengalaman sedia ada dalam pengalaman baru yang bakal diperoleh ini amat baik sebagai proses pengajaran dan pembelajaran untuk persediaan pada masa akan datang.
Melalui kerjasama daripada semua pihak, maka Bulan Kefahaman dan Penghayatan Islam tahun ini diharap dapat diadakan dengan lancar sepertimana yang telah dirancang dan ditetapkan. Semoga program ini dapat menghimpunkan kesepaduan, keakraban dan kemesraan dalam seluruh kalangan warga Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan.
Langgan:
Catatan (Atom)



